Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Pages

Pages

Saturday 30 August 2014

Manisnya Isthikarah

Ya Allah aku beristhikarah dengan dengan ilmuMu
 Ku mohon kekuatan dengan kekuatanMu 
Dan ku mohon keagungan kurniaanMu 

Degup jantungnya bagai gendang dipalu , tiba-tiba deras mengepam darah sehingga naik ke setiap pembuluh urat darah yang berselirat di wajahnya. Sinar mentari pagi yang menembusi tingkap kaca feri dirasakan begitu panas membakar. Bahang tiba-tiba meruap di wajahnya menjadikan kulit putih yang mulus itu menjadi kemerah-merahan. Nafasnya menjadi kencang apabila iris yang polos itu menangkap lirikan matanya ketika dia cuba curi-curi memandang. Sungguh dia tidak berupaya membalas. Setiap kali pandangan mata mereka bertembung, Marianna merasakan rohnya terbang melayang ke angkasa meninggalkan tubuh. Terawang-awang di langit biru.

Ya Allah jika ini baik bagiku, agamaku dan kehidupanku
Juga natijahku selepas ini, 
Maka tetapkanlah, 
Kau mudahkanlah 
Dan berkatilah aku padanya 

Beberapa kali dia mengisarkan punggung, tidak selesa direnung. Tubuhnya rasa teroleng-oleng dibuai  ketika enjin motobot bingit menderu membelah arus sungai. Padahal sungai ini sudah bertahun-tahun ditempuh. Bermudik dengan perahu ke hulu mengikut ayahnya mencari ikan. Kalau tidak pun habis diangkut adik-adiknya bermain sampan. Lahirnya pun di dalam bot feri kecil seperti inilah 26 tahun yang lalu. Terbayang omelan ibunya mengungkit-ungkit masa silam.

“Kau ni tak sabar-sabar hendak sampai ke hospital. Baru saja aku bangun dari bangku, enak-enak sahaja kau meluncur keluar dari pintu rahim. Mujur ayah kau sempat menarik kain batik ibu. Kalau tidak, kepala lembik kau tu sudah terhempas ke lantai bot.” Suara ibunya terngiang-ngiang kedengaran begitu lucu, sehingga dia tidak menyedari senyuman besar merekah di bibirnya.

 Namun rekah senyuman itu kembali mengendur. Debarnya memuncak dan nafasnya menjadi kencang. Rasa sebak yang menggoncang membelah retak pada empangan air mata, saat Marianna terkenang kasih seorang ibu yang tidak bertepi meski anak gadis sulungnya menongkah arus. Meski sekian banyak cacian dan tohmahan yang dilempar ke atas keluarganya. Ibu yang tidak pernah berputus asa cuba menarik kembali anak gadisnya pulang ke pangkuan. Pulang kepada anutan ibubapa dan nenek moyang.

Ya Allah! Seribu dugaan yang berikan padaku. Semata-mata ujian untuk aku kecapi nikmat cinta-Mu. Setelah kutemu jalan ini, kau balikkan hati si penunjuk arah. Membiarkan aku sendirian untuk beberapa lama. Betapa aku telah berdiri benar-benar di pinggir jurang, yang menghalangku dari terjun hanyalah sehelai benang merentang sebagai pagar, menghalang aku dari jatuh. Keluh-kesah Marianna bergelodak di dalam hati.

Ya Allah jika ini buruk bagiku, agamaku serta kehidupanku 
Juga natijahku selepas ini,
Maka jauhkannya dariku, 
juga jauhkan aku darinya, 

“Kau jangan ganggu aku lagi! Antara kita sudah tiada apa-apa hubungan,” Bagai halilintar perkataan yang keluar dari mulut Zainuddin menyambar hati Marianna. Bulat mata Marianna enggan mempercayai butiran yang terbit dari bibir lelaki itu. Terpaku dengan sergah amarah, lidah Marianna kelu.

Melihatkan reaksi Marianna, Zainuddin pula dirundung rasa gelisah dan bersalah. Jelas kelihatan mata gadis itu berkaca-kaca. Namun rasa ego menguasai kelelakiannya, “Hey! Kau jangan cakap yang kau masuk Islam kerana aku. Aku dah pesan berkali-kali bukan? Jadi, tiada alasan untuk kau murtad kembali hanya kerana perpisahan kita.” Kali ini hati Marianna bagai dicantas terus dengan sebilah belati yang disapu dengan racun.

Semudah itu? Semudah dan serendah itu kau letak aku, Zain? Hatinya meraung tidak mampu diucap dengan lidah. Memang laju air matanya mengalir dengan sendu yang ditahan. Hatinya masih berteriak, meraung seolah-olah histeria. Raungan yang menumbuk-numbuk dadanya dari dalam rusuk. Sakit. Terlalu sakit! Lebih sakit dari rasa pedih gastrik yang menggigit dinding perutnya. Lebih seksa dari kelaparan yang ditempuhinya kerana tidak punya wang untuk membeli makanan. Wang yang ada berdikit-dikit digunakan untuk biaya sehari-hari sepanjang pengajiannya di UiTM Shah Alam.  Oleh itu, dia terpaksa melakukan pengorbanan kecil. Mencatu makan sehari sekali. Cukup-cukuplah dia membebankan ibubapanya sedangkan ada 7 lagi mulut untuk disuap di kampung sana. Sedangkan pada umurnya kini sepatutnya dia sudah bekerja membantu keluarga. Tetapi keinginan untuk menyambung pelajaran mengatasi segalagalanya. Keinginan yang kuat dan cita-cita yang tinggi membawanya ke tanah semenanjung.

Penolakan. Perpisahan. Kesempitan. Memaksanya memilih hanya satu jalan. Memohon pada tuhan.

Mujur sahaja ada kumpulan sokongan saudara-saudara baru. Jarang sekali dia berasa keseorangan. Sentiasa membantu. Pertemuan. Perjumpaan. Dan di sinilah dia mengenali istikharah. Bersama-sama teman-teman baru, dia mengecapi manisnya istikharah.

Kerana Engkau berkuasa dan tidak pula aku 
Engkau mengetahui juga tidak aku 
Maha mengetahui yang ghaib 

Hempasan bot yang mendaki ombak membawa Marianna kembali ke alam nyata. Kisah silam yang ditolak ketepi. Kini masa depan duduk di depannya. Sekejap-sekejap dia berjalan ke dek berbual-bual dengan pemandu bot. Kemudian berjalan pula ke ekor bot feri kecil yang cukup untuk memuatkan 20 penumpang menyelusuri Sungai Rejang sejak dua jam yang lalu. Pemuda yang mencintai alam ini benar-benar teruja dengan pengalaman baru. Matanya bersinar-sinat seperti kanak-kanak yang gembira mendapat permainan baru.

Seolah-olah baru semalam mereka bertemu buat pertama kali di garisan penamat sebuah perlumbaan marathon 20km. Pandangan pertama yang tanpa disangka mendatangkan damai di hati tetapi tidak terluah. Bagi Marianna, dia hanya mengadu pada-Nya. Sejak itu Marianna kerap terserempak dengannya dalam semua acara larian yang disertainya.

Teringat sebuah nota kecil yang dikirim kepada Marianna secara misteri bertulis, "Tudung labuh dan baju longgar langsung tidak menjejaskan lariankah? Awak sangat mengkagumkan!" Marianna hanya tertawa kecil.

“Anna, ingat lagi tak apa yang kakak cakap dulu? Allah simpan ganjaran yang terbaik utuk orang-orang yang bersabar. Nah, apa perasaan Anna sekarang?” Kejap genggaman kak Nasuha apabila mengatakan ini. Puas sudah Marianna berkongsi suka duka perjalanan hidupnya dengan temannya yang 5 tahun lebih tua itu. Marianna hanya mengangguk-angguk dengan senyuman yang paling manis.


“Sayang, kita dah sampai!” Sapaan mesra itu mematahkan semua cubaan mindanya untuk mengimbas kenangan lalu. Ketika dia bangkit, pinggangnya dipaut pantas dan ditarik rapat ke tubuh lelaki itu. Merona kemerah-merahan wajahnya menahan malu. “Hei, awak isteri saya lah sekarang. Sama-sama kita berlari hingga ke syurga. Jom... Saya tak sabar nak bertemu dengan mertua saya dan seluruh ahli keluarga awak di rumah panjang.”

Azri, suamiku yang hadirnya menjadi pelengkap dalam kembaraku mencari iman.

Tetapkan aku dengan kebaikan sebagaimana yang sepatutnya 
Kau jadikanku meredhainya…. 



No comments:

Post a Comment

 

CONTACT ME

MUSLEHA :: 019-3887848
Your trusted supplement distributor

'Passionate about wellness, your success is my business'

Sample Text

Maju terus...

Sample Text

 
Blogger Templates