Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Pages

Pages

Sunday 17 August 2014

Kisah tukang kebun dan kasutnya....


Perjalananku ke tempat kerja hari ini diiringi dengan awan mendung berarak lesu. Walaupun belum ada tanda-tanda hari akan hujan, tetapi kesuraman alam seolah-olah berjangkit pada hatiku. Angin prasangka dan bayu putus asa mula bertiup, berlegar-legar. Apakah bezanya kali ini dengan yang dulu?


Hanya setelah 3 suku perjalanan baru aku sedar, aku belum melakukan kelaziman yang aku amalkan sejak sebulan yang lalu. Kelaziman impak dari hijrahku yang kecil, membasahi bibir dan memberi santapan rohaniku dengan barisan zikir. Supaya masa yang terbuang kerana melayan trafik jem di atas jalan dapat dimanfaatkan. Sesungguhnya aku masih jauh dari mengecapi nikmat yang sebenar. Mujur ada sahabat dan kumpulan teman-teman yang saling ingat-mengingati.Memberi kekuatan agar dapat tiba puncak kejayaan.



Sebaik aku melabuhkan punggung di kerusi empuk di pejabat, bertalu-talu mesej menyerbu masuk ke dalam peti surat di telefon pintarku. Aku menerima pesanan bergambar berikut dari seorang sahabat.


Pesanan yang membuatkan aku berulang-ulang kali bertanya pada diriku sendiri, apakah niat dan matlamatku? Adakah niat suci mulia itu sekadar ucapan di bibir sedangkan hati begitu mendambakan kekayaan? 

Mahukah teman-teman, jika hari ini aku ingin kongsikan sebuah kisah? Sebuah kisah yang tauladannya diharap dapat meluruskan yang bengkok, menjerihkan air yang keruh.

Kisah ini adalah untaian peristiwa seorang murabbi yang alim dan bijaksana meladeni anak-didiknya.

Kisah tukang kebun dan kasutnya...

Disebutkan, seorang guru di mana umurnya lebih setengah abad santai bersiar-siar bersama salah seorang anak asuhannya yang masih muda remaja. Mereka berjalan sambil berbual dan kadang kala diselangi dengan ketawa kecil. Walaupun beza usia antara keduanya sangat ketara, namun mereka kelihatan amat akrab sekali. Istimewa sungguh keikhlasan yang ditunjukkan oleh seorang murabbi.


Sewaktu mereka sedang asyik bersiar-siar, tiba-tiba remaja itu terjumpa dengan sepasang kasut yang sudah buruk, berjahit di sana sini dan hampir remput. Di samping kasut itu, ada juga beberapa barangan lain yang dikenalpasti milik seorang tukang kebun di taman itu.

Remaja itu berpaling ke arah gurunya dengan sinar mata bercahaya seolah-olah terfikirkan sesuatu. Pantas remaja itu mencadangkan, “Bagaimana jika kita usik tukang kebun ini? Kita sembunyikan kasutnya, kemudian kita berlindung di sebalik rimbunan pokok-pokok yang renek itu. Pasti dia akan rasa terkejut , cemas dan mula mencari-cari.” Ujarnya sambil menekup mulut menahan ketawa.

Namun, guru yang bijak itu menyarankan sesuatu, “Wahai anakku. Mahukah kamu jika aku ajarkan cara yang lebih menyeronokkan? Kamu orang senang, bukan? Cuba masukkan beberapa keping duit kertas ke dalam kasutnya. Kita lihat apa yang terjadi?”

Remaja itu terdiam mendengar saranan gurunya, kemudian mengangguk-angguk. Dia terus mengeluarkan beberapa keping duit kertas dari poketnya, dan dimasukkan ke dalam kasut tersebut. Kemudian mereka berdua terus berselindung di sebalik rimbunan pokok-pokok yang renek.

Ianya tidak mengambil masa yang panjang. Muncul seorang lelaki dewasa dalam usia 40-an dengan bajunya yang basah kuyup dengan peluh dan berkaki ayam. Sambil menepuk-nepuk kotoran yang melekat pada pakaiannya, dia berjalan menuju ke tempat barangnya ditinggalkan.

Ketika menyarungkan kakinya ke dalam kasut, lelaki itu tersentak lalu mengangkat kasutnya. Apabila dibelek, dia ternampak sesuatu lalu mengeluarkan kepingan-kepingan duit kertas itu. Mukanya berubah menjadi pucat dan tanpa disedari mulutnya ternganga kerana terlalu terkejut.

Cepat-cepat diambil sebelah lagi kasutnya! Masya’ Allah! Lebih banyak wang yang ditarik keluar. Berulang-ulangkali dia membelek dan memeriksa semua kepingan duit kertas itu seolah-olah tidak percaya.

Kemudian kepalanya pantas berpaling ke kiri dan ke kanan, mencari-cari jika ada orang lain di situ. Masih terkejut, dia mendapati dirinya keseorangan.

Tukang kebun itu memasukkan wang ke dalam sakunya dan terus jatuh melutut. Sambil menadah tangan dan memandang ke langit, lelaki itu menangis. Berteriak dengan suara yang kuat, seolah-olah berbicara terus dengan Allah Ar Razzaq.


“Aku bersyukur kepada-Mu, Ya Allah Ya Tuhanku. Kau yang Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar. Isteriku jatuh sakit dan anak-anakku kelaparan. Malahan, mereka belum menjamah apa-apapun hari ini. Engkau telah menyelamatkan aku, isteri dan anak-anakku dari kesusahan ini, Ya Allah!”

Tukang kebun ini terus menangis dan menangis sambil tidak putus-putus memanjatkan rasa syukur atas kurniaan Allah S.W.T yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Remaja ini yang berlindung di sebalik rimbunan pepohon, tidak dapat membendung air matanya dari meleleh. Rasa keharuan betul-betul menyentak kesedaran di dalam dirinya.

Perlahan gurunya itu bersuara, “Nah! Bukankah sekarang kamu lebih bahagia jika dibandingkan keseronokan mempermainkan orang lain. Merasa lucu melihat orang kehilangan barang. Sedangkan orang itu sebenarnya dalam kesusahan yang amat.”

Dengan keinsafan yang membuak-buak di dalam dadanya, pemuda ini menjawab, “Hari ini aku mendapat pelajaran yang paling berharga. Barulah aku faham kalimah yang sering dikatakan orang. Erti hidup pada yang memberi, kerana kamu akan dapat lebih banyak kebahagiaan berbanding apa yang kamu ambil.”

Sambil menepuk-nepuk bahu remaja itu, gurunya menambah, “Nah! Mahukah kamu aku ajarkan bermacam-macam cara pemberian?”

“Ya, saya mahu.”

Guru itu berkata:

ü  Memaafkan kesalahan orang di saat kita mampu membalas dendam, adalah suatu pemberian.

ü  Mendo’akan teman dan saudaramu di belakangnya (tanpa pengetahuannya) adalah suatu pemberian.

ü  Berusaha utk berbaik sangka dan menghilangkan sangka buruk darinya juga satu pemberian.

ü  Menahan diri dari membicarakan aib saudaramu di belakangnya, adalah satu pemberian lagi.

Ini semua adalah pemberian dari Allah, supaya kesempatan memberi tidak hanya dibuat oleh orang-orang berada sahaja.

Kelebihan berharta
Manakala kelebihan orang yang lebih berharta dan berjaya, dapatlah mereka memberi lebih banyak. Sedari awal membina kejayaan, sudah dididik dengan sifat memberi.



Supaya kita dapat lebih berkongsi?

Supaya kita dapat membimbing lebih ramai lagi orang lain untuk berjaya?

Supaya lebih ramai orang yang kaya mulia wujud di muka bumi ini?

Bukankah kita dianjurkan berusaha dan berusaha? Kemudian disusuli pula dengan tawakkal…

Setiap orang ada titik kegagalan. Setiap masa ada saja yang terlanggar dinding. Setiap orang yang berjaya pasti banyak cerita kegagalan untuk dikongsi. Bagaimana jika orang yang berjaya ini berkongsi setiap jejak kejayaan mereka, supaya mudah diikut? Bagaimana jika orang yang berjaya ini menghulurkan tangan untuk sesiapa saja yang ingin menyambut? Siapa yang mahu ikut?







No comments:

Post a Comment

 

CONTACT ME

MUSLEHA :: 019-3887848
Your trusted supplement distributor

'Passionate about wellness, your success is my business'

Sample Text

Maju terus...

Sample Text

 
Blogger Templates