Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Pages

Pages

Thursday 25 September 2014

Awas! Jangan ikut terjebak dalam perangkap tikus

Assalamualaikum wahai pembaca budiman,

Jalan-jalan di blog teman-teman, saya terbaca sebuah sebuah kisah tauladan. Jadi saya kongsikan semula di sini, buat kita renung jadikan iktibar.



Nak dijadikan cerita, ada seekor tikus duduk menginap di satu sudut tersembunyi di dalam bilik stor sebuah rumah milik seorang petani.



Satu hari, si tikus yang mengintip di sebalik celah-celah belahan dinding kayu ternampak sang petani pulang dari pasar bersama isterinya yang muda dan cantik jelita. Si tikus pun sibuk dok mengamati sang petani dan isterinya membuka sebuah bungkusan.



Ada makanan?  fikir si tikus. Malangnya tekaan itu salah.  Dia terkejut sekali, apabila bungkusan itu disingkap rupa-rupanya berisi perangkap tikus.

Si tikus tidak membuang masa, terus berlari ke ladang si petani itu, sambil menjerit-jerit memberi peringatan, "Awas, ada perangkap tikus di dalam rumah, awaslah, ada perangkap tikus di dalam rumah!"



Sang ayam dengan tenang berkokok. Kemudian sibuk mematuk-matuk sambil mengais-ngais di atas tanah. Menyahut teriakan si tikus, ayam mengangkat kepalanya dan berkata, "Ya maafkan aku, Pak Tikus, aku tahu ini memang masalah besar bagi kamu, tapi bukan masalah bagiku. Jadi tak usahlah kau buat aku pening."

Tikus hanya mampu terkebil-kebil mendengar kata-kata ayam. Dengan rasa kecewa, tikus terus berpaling dan berlari pula ke arah sang kambing sambil meneriak lagi,  katanya, "Ada perangkap tikus didalam rumah, aku nampak ada perangkap tikus dirumah!"

Teriakkan si tikus disahut oleh sang kambing dengan bersahaja, "Wah, kasihan kamu tikus. Aku rasa simpati mendengar khabar ini," si kambing cuba mengambil hati, "tetapi tak ada sesuatupun yang dapat aku lakukan kecuali berdoa. Yakinlah, aku sentiasa mendoakan kau!"



Tikus tersentak mendengar kata-kata si kambing namun enggan berputus asa. Dia berundur dan berlari pula mencari si lembu. Namun, tidak seperti diharapkan, sang lembu berkata " Oh, apa? Sebuah perangkap tikus? Jadi aku dalam bahaya besar ya?" kata lembu itu sambil ketawa.



Jadi tikus itu pun kembalilah ke rumah petani itu. Tunduk merenung lantai dengan hatinya yang retak seribu. Rasa takut, kesal dan sedih kerana terpaksa menghadapi perangkap tikus itu sendirian.

Malam itu juga terdengar bunyi bising di rumah sang petani, seperti bunyi perangkap tikus yang berjaya menangkap mangsanya. Isteri petani itu gegas berlari pergi melihat apa yang terperangkap. Didalam kegelapan itu dia tidak dapat melihat bahawa yang terjebak itu adalah seekor ular berbisa. Akibatnya, ular itu mematuk tangan isteri petani itu dan kemudian pantas melepaskan diri.

Apabila sang petani mendapatkan isterinya, dia hanya dapat melihat isterinya meraung kesakitan sambil menunjukkan dua lubang kecil gigitan haiwan berbisa itu. Isterinya yang cantik itu tiba-tiba jatuh rebah dan menggelupur. Bisa ular sudah mula menjalar ke seluruh tubuhnya. Petani itu mengoyakkan kain yang dipakai isterinya lalu diikat di pergelangan tangan yang telah dipatuk ular itu tadi.

Sang Petani bergegas membawanya ke hospital. Di hospital, isterinya berjaya di selamatkan tetapi sekembali ke rumah, isterinya menghidap demam panas. Melihat isterinya yang sakit dan hilang selera makan, Sang Petani bercadang memberikannya makan sup ayam segar, jadi petani itu pun mengambil goloknya dan pergilah dia ke belakang mencari bahan bahan untuk supnya itu.

Malangnya, demam isterinya berlanjutan tidak kunjung kebah sehinggakan teman teman dan jiran tetangganya datang menjenguk, dari jam ke jam selalu ada saja para tamu. Petani itupun mengambil keputusan menyembelih kambingnya untuk memberi makan para pengunjung itu.

Sekian hari demi hari, isteri petani itu tak juga sembuh malahan makin melarat. Akhirnya, isteri petani itu meninggal dunia, jadi makin banyak lagi orang orang yang datang untuk pengkebumiannya.  Sehinggalah petani itu terpaksalah menyembelih lembunya agar dapat menjamu makan penduduk kampung itu.



APA ADA DI SEBALIK KISAH INI?

Jika kita teliti teladan di sebalik kisah ini, sangat hampir juga dengan masalah-masalah yang terbit dalam masyarakat kita. Banyak di antara kita berfikir, masalah orang lain itu tiada kaitan dengan kita. Tetapi ingatlah cerita ‘perangkap tikus’ ini di mana apabila peringatan tidak diendahkan, akhirnya habis seluruh isi ‘ladang dan ternakan’ ikut terbabit menanggung risikonya.

Sama seperti masalah perbezaan taraf hidup dalam komuniti kita di Malaysia samada bandar mahupun desa. Jika ada yang terjebak dengan jenayah kerana masalah kemiskinan, cepat saja kita menuding jari menuduh si pelaku malas bekerja. Atau ada juga tanggapan si penjenayah ini tamakkan kemewahan sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi menjilat kekayaan menjadi hamba wang.

Tetapi pernah tak kita terfikir, mungkin mereka ini tidak tahu jalan yang betul untuk berjaya. Tiada sesiapapun yang hendak berkongsi dengan mereka bagaimana hendak memulakan bisnes tanpa modal.

Kemudian, ada pula di antara mereka tidak tahu bagaimana menambah nilai hidup. Bagaimana dengan memberi dan berkongsi akan membersihkan jiwa.

Tiada kumpulan dan jemaah yang sentiasa menyokong dan berkongsi kaedah kejayaan. Masing-masing sibuk melancarkan pucuk, bagai enau dalam belukar.

Jika kita tidak berusaha memberi kesedaran kepada sahabat, rakan taulan dan umum di luar sana, siapa lagi?

Sikap mementingkan diri sendiri lebih banyak keburukan dari kebaikan.

Andai kamu tahu satu ilmu, dan ilmu itu boleh memberi manfaat pada orang lain. Tolong kongsikan! Anda tidak kurang walau sedikitpun. Malahan ganjaran pahala itu boleh berganda-ganda. Sama-sama kita beringat!



Semoga anda kaya dan berjaya, hidup dengan menyumbang manfaat untuk orang lain.

Kredit untuk blog Kisah Tauladan

Terima kasih.




No comments:

Post a Comment

 

CONTACT ME

MUSLEHA :: 019-3887848
Your trusted supplement distributor

'Passionate about wellness, your success is my business'

Sample Text

Maju terus...

Sample Text

 
Blogger Templates